DENGAN MERDEKA BERSATU HATI

UCAPAN
MANNDZRI BIN HAJI NASIB
Presiden Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ)
SEMPENA
MESYUARAT AGUNG DWI TAHUNAN MBNJ 2016
DEWAN BANQUET, BANGUNAN SULTAN ISMAIL, ISKANDAR PUTERI, JOHOR
11 JUN 2016, 4.00 PETANG

BISMILLAHIRROHMANIRROHIM

 

MUKADIMAH

  1. Segala puji dan syukur kehadarat Allah SWT atas kesempatan untuk kita bertemu dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan (MADT) MBNJ kali ke-29 tahun 2016.
  2. Saya mewakili saf kepimpinan MBNJ sesi 2014-2016, mengalu-alukan kehadiran saudara/saudari ke MADT, Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ). Wadah ini bukan sahaja penting untuk menghimpunkan (kita) pemimpin pergerakan belia Negeri Johor Darul Ta’zim di bawah satu bumbung, tetapi lebih dari itu ia memberikan ruang kepada kita untuk bersama-sama ‘melakar’ dan ‘melukis’,’menggaris’ dan ‘merintis’, menerus dan menyubur, perjalanan panjang sebuah epik perjuangan yang sama kita gagah pikul dari leluhur kekanda-kekanda kita sejak dari 1948 hingga 1959 (didaftarkan), sehinggalah sekarang ini dan bagi tahun-tahun mendatang.
  3. Bersempena barokahnya Ramadan ini, saya berharap MADT kali ini akan dapat memberikan ruang seluasnya kepada kita berdiskusi dan berkongsi, serta mencapai tujuan-tujuannya termasuk proses pemilihan pimpinan (demokrasi) yang akan kita sama laksanakan nanti.

DENGAN MERDEKA BERSATU HATI

  1. Sepanjang tempoh penglibatan kita (termasuk diri saya) dalam gerakan belia dan Majlis ini (MBNJ), terdapat keperluan apa yang lazim disebut sebagai penjenamaan semula (rebranding). Mendepani kegilaan dan tuntutan pasca-ketamdunan-baharu anak muda (neo-civilization-of-youngster), MBNJ mengambil pendekatan mengenengahkan SLOGAN atau TAG-LINE; Dengan Merdeka Bersatu Hati sebagai laungan gerakan ini. Sebagaimana Kerajaan Negeri dengan tagline; Allah Berkati Johor. PBNJ/JDT dengan tagline; Luaskan Kuasamu. Maka MBNJ memilih tagline ini dari bait lirik Lagu Rasmi Bangsa Johor juga. Ia bukanlah memadam pesona; Persefahaman Tangga Perdamaian, tetapi ia sebagai ‘echo’ atau gema kepada semangat yang sama dalam memperkuat gerakan ini. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak dan menyeru agar setiap 22 Badan Gabungan MBNJ himggalah ke akar umbi gerakan belia berpersatuan di Johor, memanfaati transformasi ini agar kita sama memakai ‘tagline’ ini, samada dalam ungkapan ucapan atau mesej nota kesungguhan, dalam penulisan dan urusan (rasmi) agar ia difahami dan menjadi ikon baharu kepada jatidiri pergerakan Belia Bangsa Johor.
  2. Selain itu juga, melalui ‘Dengan Merdeka Bersatu Hati’ juga membawa mesej jelas dan tegas bahawa gerakan belia di Johor menyanjung tinggi fungsi pentadbiran dan sistem sosial, kemasyarakatan, kerajaan yang wujud di negara ini. Ia juga memberi faham kepada masyarakat luar bahawa gerakan belia adalah bertujuan memupuk satu padu, harmoni, kedamaian dan kesejahteraan dalam persekitaran masyarakat yang semakin rencam dan edan.
  3. MBNJ akan sentiasa memegang maudhuk ini sebagai tujuan utama dalam perjuangan pergerakan ini. Program, aktiviti dan isu yang kita laksana, juang dan tumpukan adalah sebagai tuntutan dan refleksi dalam mencapai matlamat besar ini atas paksi kesukarelawanan. Ringkasnya, gerakan belia dan kesukarelawanan bukanlah sebagai pelengkap atau penyedap kepada pembangunan atau ketamadunan tetapi ia adalah instrument terpenting yang perlu diberi perhatian. Soalnya, bersediakah kita untuk terus merelevansikan gerakan ini?

Sahabat sidang perwakilan sekalian,

ADVOKASI

  1. Apabila menyebut perihal releven, kita wajarlah berterusan melakukan proses advokasi. Setakat ini, advokasi adalah senjata yang paling baik dan berkesan dalam membina hubungan bagi mengekal status-quo kita (pertubuhan) dalam lingkaran kewujudan (circle of existed). Maknanya apa; orang sedar MBNJ, orang sedar MBD, orang sedar Gabungan-Gabungan MBNJ dan gerakan belia berpersatuan ini; ada, kelihatan, diperlukan, penting. Advokasi yang dilakukan haruslah mengutamakan kepentingan Pertubuhan kita dengan istiqamah, jelas dan berstrategi. Kedapatan juga advokasi berlaku dengan manfaat peribadi yang keterlaluan. Ia boleh menjejaskan relevensi pertubuhan kita, gerakan kita kerana masyarakat atau khalayak atau klien kita, melihat individu dalam pertubuhan melebihi Pertubuhan itu sendiri. Yang di daerah perkukuhkan advokasi melalui komunikasi spesifik bersama rangkaian daerah; DO, YDP Majlis, polis, hospital, PPD, SRCC, Kelab-Kelab Sukan, Kelab-Kelab Masyarakat, kelompok-kelompok berpengaruh dan sebagainya. Hal ini akan membina repustasi baik gerakan kita dan pengiktirafan formal atau non-formal dari lingkaran ini akan menjadikan kita dan gerakan ini relevan. Begitu juga di peringkat negeri dan nasional, malah antarabangsa sekali pun. Advokasi mesti kita lakukan.
  2. Bersangkutan itulah, MBNJ dalam penggal 2014-2016, kita sedaya upaya melakukan fungsi advokasi ini. Antaranya;
    1. Membina hubungan akrab dengan Majlis Belia Malaysia dan Gabungannya
    2. Melakukan kunjung hormat ke Pejabat EXCO Kerajaan Johor
    3. Terlibat aktif dalam majlis melibatkan pimpinan termasuk YAB. PM, YAB. TPM. YAB. MB Johor dan pimpinan pembuat keputusan
    4. Meluaskan ruang interaksi dan komunikasi melalui pembinaan halaman sesawang BELIA JOHOR (akan dilancar hari ini)
    5. Bagi hubungan antarabangsa; Menggerak semula Program SIJORI (Singapore, Johore, Riau)
  3. Dan pada penggal 2016-2018, saya mencadangkan advokasi pihak korporat pula kita lakukan. Semoga akan beri manfaat pendanaan untuk MBNJ, agar akhirnya, Gabungan-Gabungan MBNJ juga dapat menikamati teduh, daripada akar usaha MBNJ sebagai Induk yang menaungi kita semua. Andai sekarang, untuk usahasama dengan Badan-Badan Kerajaan, manfaatkanlah MBNJ. Bersama Gabungan dan MBNJ, suara kita akan lebih kuat dalam menjayakan proses advokasi ini.
  4. Kepada Allah Berserah.

Sahabat sidang perwakilan sekalian,

JOHOR YANG MEMBANGGAKAN

  1. Dikesempatan ini juga, sebagai Presiden MBNJ saya ingin mengambil peluang untuk menyatakan bahawa pada tahap sekarang ini Bangsa Johor berada dalam nebula kebanggaan yang luar biasa. Sedar atau tidak, kita menjadi saksi kepada kebangkitan Johor yang luar biasa. Pelbagai lakaran kejayaan dan lukisan usaha melalui perancangan telah dilakukan oleh Johor. Seperkara yang nyata adalah BOLA SEPAK.
    “Luaskan Kuasamu Johor, kami akan senantiasa menjunjung taat setia Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Johor, Tengku Mahkota Johor dan Istana termasuk Kembara Mahkota yang senantiasa menjadi kecemburuan rakyat negeri lain dan hubungan rakyat-istana yang luar biasa di Johor. Daulat Tuanku”
  2. Keduanya, tentang pentadbiran Kerajaan Johor sekarang selepas pasca PRU13. Bukanlah menjadi tabiat semulajadi kita sebagai pemimpin NGO atau Pertubuhan untuk sentiasa memuji-muji Kerajaan semacam bodek. Tetapi sebagai MBNJ, yang berpegang kepada prinsip ‘Belia Bertindak Untuk Kebenaran & Keadilan’; maka kita perlu memperakui bahawa transformasi kemajuan Negeri Johor adalah jauh lebih meyakinkan berbanding negeri-negeri lain. Kita tidak hanya melihat Pelan Suara Hati Johor sebagai slogan sahaja, tetapi pelaksanaanya telah kita lihat pada 2014 dan 2015. Isu generasi muda diangkat sebagai amat utama dalam kanta fokus Kerajaan Negeri Johor. Isu perumahan, isu peluang pekerjaan, pendidikan dan keusahawan dibawa terus dalam setiap perancangan Bajet Negeri Johor.
  3. Tidak cukup dengan itu, Gagasan Johor Berkemajuan mula digerak tahun ini dan perancangannya amat menyeluruh. Belia masih lagi dijadikan tunggak dalam agihan Bajet 2016 dalam pelbagai skop perbelanjaan. Hal ini sesuatu yang amat membanggakan dan kita sebagai aktivis belia dan penggerak pertubuhan belia harus menyatakan sokongan, menzahirkan pengiktirafan dan bersama dalam wadah-wadah idea atau diskusi yang tersedia menjadi pihak untuk memotivasi, check-n-balance, suara ketiga agar matlamat-matlamat perancangan Kerajaan dapat dicapai secara maksimum demi kebaikan generasi muda dan rakyat keseluruhannya.
  4. Sebagai anak muda, darah muda, mungkin ‘ada perkara yang tidak kena’…suarakan melalui saluran yang ada, secara hemah dan bijaksana. Kerajaan bersedia ditegur dan kita lakukan dengan amanah. Buka sahaja laman web Kerajaan atau Badan Kerajaan yang kita rasa mahu sampaikan teguran. Manfaatkan teknologi dengan berkesan. Selaian melalui Majlis Perundingan dan surat-surat advokasi, kita mampu bersama dalam usaha membina kesejahteraan buat belia, negeri dan negara.

Sahabat sidang perwakilan sekalian,

CABARAN BELIA NASIONAL

  1. Cabaran Belia hari ini dari penelitian saya telah sampai ke peringkat ‘tulang hitam’. Suatu ketika dadah dan bohsia. Kemudian lepak dan buang anak. Pada dekad ini, ancaman lebih besar sedang mengeroyok anak muda generasi kita dengan henyakan kepada nilai, budaya dan jatidiri mereka. Kita tidak tahu apakah salah sistem (pendidikan dan sosial), apakah salah persekitaran (tekanan hidup, media sosial) atau apakah ia sebuah usaha terancang Barat atau pihak tertentu. Mungkin juga telah sampai tahap darurat kebejatan nilai, budaya dan jatidiri yang menyerang generasi kita.
  2. Lihat sahaja agenda LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender). Ia bukan nilai untuk kita sanjung. Kita lihat sahaja kecelaruan budaya malah nilai agama yang merojak. Memanglah rojak sedap, campur semua sekali, simbah kuah, makan. Tapi lepas tu silap hari bulan dapat cirit. Fitrah mesti kita hormati; tua-muda, panjang-pendek, lelaki-perempuan. Kita tidak boleh membuta-tuli meraikan apa sahaja, walhal kita sedar ia mengancam tamadun kita. Kehidupan juga begitu, MBNJ sama sekali tidak akan bersetuju dengn pluralism agama. MBNJ tidak akan sama sekali bersetuju dengan hedonism (hiburan melampau). Sepanjang pembinaan kendiri Bangsa Johor, setakat yang saya tahu, begitu juga sedari zaman awal merdeka, Malaya dan Malaysia, negara dan negeri ini didiri dan dibangunkan atas konsep ‘persamaan dalam kepelbagaian’. 1Malaysia. Kita kuat kerana kita berjenis-jenis, macam-macam, kalau di Sabah dan Sarawak lebih luas. Tapi itulah kekuatan kita. Kekal berbeza tetapi mencari kesejahateraan dalam tata-hidup bernegara. Johor mesti jadi Johor.
  3. Selain daripada itu, belia berisiko juga adalah topik yang wajar terus kita bawa dalam perbincangan-perbincangan. Ia mungkin kita sebagai ‘ahli’ kelompok itu, mungkin juga orang lain, tetapi mungkin juga saudara, kenalan kita. Pokoknya ia sesuatu yang serius dan berkait dengan survival masyarakat dan negara kita. Siapapun akan bimbang
  4. Selain itu juga, Gejala Belia Berisiko perlu kita lihat dengan dimensi yang magis. Siapakah yang tidak mempunyai rasa bimbang terhadap gejala sosial? Ia dikategorikan sebagai gejala ‘miskin minda’ yang melanda kebanyakan remaja di negara kita. Kesempatan dalam satu pertemuan bersama beberapa aktivis sosial yang ‘anti establishment’, membincangkan isu negatif seperti perilaku anak-anak muda dalam kancah penyalahgunaan dadah, merempit, buang bayi dan pergaulan bebas, ada diantara mereka yang mempersoalkan penglibatan ahli intelek sebagai pengkaji sosial yang berteraskan rujukan teori semata-mata. Apa yang dimaksudkan, seharusnya setiap pengkaji sosial itu menyelami permasalahan dari akar umbi sebelum memutuskan sesuatu solusi. Selami lubuk kota sebagai pengukur jalanan, ‘undergrounder’, ‘skaterboy’ atau mat rempit sekali pun anda profesor di universiti. Itulah perjuangan anda sebagai pengkaji sosial dan sememangnya setiap perjuangan pasti ada risikonya.
  5. Gejala Sosial Akibat Kealpaan Kita Semua. Apa yang berlaku sekarang adalah satu hakikat dimana boleh dikatakan semua pihak mempunyai sahamnya dalam menyuburkan perilaku negatif ini. Gejala ‘miskin minda’ yang merunsingkan ini tentunya dapat dirungkai jika semua yang melihat perkembangan yang berlaku ditengah-tengah masyarakat sekarang bersatu dan berazam untuk sama-sama membaikinya, bukan menuding jari antara satu sama lain. Bersama-sama turun padang ala-ana Indiana Jones dan lakukan kajian di luar waktu rasmi. Dengan kemampuan yang anda miliki, pasti lebih banyak yang diperolehi untuk manfaat bersama.

Sahabat sidang perwakilan sekalian,

PENDIRIAN MBNJ

  1. Akhirnya, saya memberikan konklusi melalui nota penutupan ini dan tanpa penjelasan. Ia adalah pendirian yang saya harap kita sama boleh setujui dan menjadi semacam deklarasi bagi perjumpaan kita hari ini;
    1. Dasar Belia Negara? MBNJ berpendapat mungkin juga Dasar Remaja Negara lebih sesuai. Belia didefinisi hingga 40 tahun. Remaja pada had 13 – 25 tahun. Pembangunan lebih dapat difokus berdasarkan Kumpulan Belia-Kumpulan Remaja. Ini, kita tinggalkan untuk diangkat sebagai perdebatan konstruktif di Johor, nasional mahu juga antarabangsa.
    2. Transformasi & Lonjakan Kesukarelawanan? Ia mestilah dilihat dengan serius oleh semua terutama Kementerian Belia & Sukan juga Kementerian lain yang berleterlibatan. Kerja khidmat sosial atau kerja belia mesti diangkat ke tahapnya agar KESUKARELAAN tidak pupus dalam kamus masyarakat di Malaysia. Ia mesti terus disubur. Ada kalangan kita berpendapat, tingkah laku sesetangah pihak yang cerewet memperkenal pelbagai bentuk kawalan, pematuhan sperti ROY dengan MYKD dan star-ratingnya membunuh kesukarelawanan dan keghairahan berbakti. Ini juga elok dibahas dalam wacana masa mendatang.
    3. Dalam menyedia pimpinan masa mendatang. Adalah menjadi tanggung jawab pertubuhan belia merangsang dan menjadi fasilitator masyarakat yang paling strategik dalam menjaya misi ini. MBNJ saran, kita sasarkan Sekolah Menenngah. Pada peringkat umur ini pelbagai cabaran dilalui. Mereka perlu bimbingan. Mereka wajar didekati. MBNJ ada Sahabat AKRAB MBNJ yang menggerak program-program penerangan dan sasaran kepimpinan di sekolah-sekolah. Sekarang lazimnya, diJV dengan MyVOC dan 1B1K di peringkat MBM. MBNJ pelawa semua Badan Gabungan kita, untuk sama menjayakan misi ini.
    4. MBNJ sandarkan harapan kepada Majlis Belia Malaysia agar terus tegar membawa suara akar umbi, meski kami ni, nun di Selatan Malaysia. Beberapa isu tertunggak yang kami bawa dari musim ke musim Persidangan Perundingan suarakanlah; bantuan, penghakupayaan, dasar dan hubungan. Kami akan sentiasa bersama MBM.

PENUTUP

  1. Akhirnya, saya mengucapkan berbanyak terima kasih dan penghargaan kepada YAB. Dato’ Hj. Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Besar Johor dan pasukannya yang senantiasa memberi prihatin dan perhatian kepada belia dan pergerakan belia di Negeri Johor. Dan wajarlah kita menyemat bangga selalu dalam diri kita bahawa inilah satu-satunya mantan Presiden Majlis Belia Negeri Johor yang paling Berjaya menjadi orang paling penting di Johor sebagai ketua pimpinan, orang kepercayaan Ke Bawah Duli Sultan sebagai Menteri Besar.
  2. Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada YB. Dato’ Hj. Zulkurnain Kamisan, EXCO Belia, Sukan. Kebudayaan & Warisan Negeri Johor yang sentiasa rapat dengan kita dan Jabatan Belia & Sukan Negeri yang selalu membantu. Kami rindu Hari Belia Negeri Johor 2016.
  3. Kepada semua, dari hujung kaki hingga hujung rambut saya memanjatkan maaf di atas khidmat kami andai ada tercela, silap, salah sepanjang mentadbiri MBNJ pd penggal 2014-2016 ini. Yang sempurna hanyalah Dia, yang maksum itu hanya Muhammad. Kami telah mencuba. Bagi pertandingan dalam proses demokrasi hari ini, saya ucapkan tahniah kepada yang berjaya, junjunglah amanah ini sedaya semampunya, biar tidak sempurna asalkan komitmen dan kesungguhan itu dizahirkan. Selamat berbakti. Kepada yang gagal, ia bukan penamat. Kita semua kawan-kawan…terus berjuang.
  4. Secara peribadi, saya harap kita semua boleh bergerak bagai sebuah keluarga besar, penuh semangat solidariti dan muafakat. Petang nanti kita akan lancer web kita (Itu juga perlu sokongan). Kita juga akan rai pelancaran Unit COMBI & PEMADAM MBNJ, juga petang nanti (itupun perlu kerjasama semua). Bulan Ogos, akan ada Pesta Sukan MBM di Pahang (juga perlukan dokongan). Terdekat, 23hb ini, Ziarah Ramadan MBM-MBNJ di Kota Tinggi (elok juga kita bersama). Ayuhlah, kita menjadi Bangsa Johor sejati. Wibawa dan berani.
  5. Dengan Merdeka Bersatu Hati.
  6. Sekian, terima kasih. Selamat bersidang.